Anggota bomba membawa turun warga emas yang pitam di bumbung rumahnya. FOTO Ihsan JBPM
Anggota bomba membawa turun warga emas yang pitam di bumbung rumahnya. FOTO Ihsan JBPM
Siraj Mohd Zaini


TINDAKAN pantas anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan nyawa lelaki warga emas yang tiba-tiba pitam ketika melakukan kerja membaik pulih bumbung rumahnya di Taman Bertek, Klang semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa, Azhar Sylaiman, 65, tidak dapat turun dari bumbung rumahnya sebelum ahli keluarganya menghubungi anggota bomba.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.44 pagi sebelum sepasukan anggota bomba bersama satu jentera dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi tujuh minit kemudian, anggota bomba menggunakan tangga khas membawa turun mangsa.

“Tiada kejadian tidak diingini sepanjang operasi membawa turun mangsa.

“Faktor cuaca panas serta mangsa sudah berusia menyebabkannya pitam di bumbung berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 3:11 PM