ANGGOTA penyelamat menjalankan operasi membawa turun mangsa yang terjatuh di tebing bukit, kelmarin.
ANGGOTA penyelamat menjalankan operasi membawa turun mangsa yang terjatuh di tebing bukit, kelmarin.
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Tindakan seorang lelaki menggunakan laluan pintas dengan turun dari bukit di Lombong Emas, di sini, untuk pulang ke rumahnya membawa padah apabila dia terjatuh dan tersangkut pada tebing di ketinggian sembilan meter, malam kelmarin.

Difahamkan, pada mulanya lelaki berusia 43 tahun itu mengikuti kumpulan riadah bersama enam rakannya namun dia berpatah balik selepas tidak sihat jam 7 malam.

Mangsa dipercayai menggunakan laluan pintas, tetapi dia dikatakan pitam menyebabkan dia tergelincir lalu terjatuh.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban K Putthisigamany berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada rakan mangsa.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa tersangkut pada tebing berkenaan dan cedera.

“Bomba menyelamatkan mangsa menggunakan pengusung dan tali untuk membawanya turun. Operasi mengambil masa setengah jam.

“Anggota Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) memberikan rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, berdasarkan maklumat rakan mangsa, dia sering beriadah di bukit itu bersama mereka dan memahami selok-belok laluan berkenaan, tetapi pada hari kejadian mangsa kurang sihat menyebabkan dia terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 10:16 AM