FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

TINDAKAN seorang pemandu membuat pinjaman kewangan untuk majlis perkahwinan menjerat diri apabila kerugian RM20,650 kerana diperdaya syarikat pemberi pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa membuat permohonan pinjaman pada 16 Mei lalu, selepas dihubungi wakil syarikat itu.

Mangsa mendakwa tertarik membuat pinjaman RM30,000 selepas suspek mendakwa syarikat itu berdaftar di bawah Bank Negara dan memiliki lesen disyaratkan kerajaan untuk menjalankan perniagaan pemberi pinjaman kewangan.

“Suspek seterusnya didakwa mengumpan mangsa dengan mengatakan mereka menawarkan kadar faedah pinjaman lima peratus yang terhad dan mangsa adalah antara individu bertuah menerima kemudahan itu.

“Untuk mendapatkan tawaran itu, mangsa diminta mengemukakan dokumen peribadi kononnya bagi tujuan pengesahan kelayakan permohonan,” katanya di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek menghubungi mangsa keesokan hari memaklumkan pinjaman diluluskan dan menghantar salinan surat pengesahan menerusi aplikasi WhatsApp bagi meyakinkan mangsa.

Bagaimanapun, suspek memberitahu mangsa perlu membuat bayaran RM500 sebagai bayaran pemprosesan untuk mengeluarkan pinjaman yang diikuti dengan pelbagai bayaran lain yang akhirnya berlanjutan sehingga 12 transaksi.

“Mangsa akhirnya berasa marah kerana wang pinjaman masih tidak diterima sedangkan sudah menjelaskan bayaran besar dan menuntut supaya wangnya dikembalikan, namun suspek melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 8:46 AM