GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nazri Abu Bakar


Melaka: Seorang bekas pensyarah kolej swasta kerugian RM2,466 apabila terpedaya dengan pulangan lumayan dijanjikan syarikat pelaburan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, wanita berusia 63 tahun yang tinggal di Kesang, Jasin itu tertarik dengan pelaburan Forex diiklankan di laman Facebook pada 24 Januari lalu.

Beliau berkata, mangsa berurusan dengan seorang wanita dikenali 'Nurhidayatul' melalui WhatsApp yang mendakwa adalah syarikat Britrex Global Trading Sdn Bhd.

Menurutnya, mangsa diberi penerangan mengenai pelaburan terbabit mempunyai beberapa pelan seperti pelan asas RM350 yang akan memperoleh keuntungan RM8,900 dalam tempoh lima jam.

"Pelan 'special boost' berjumlah RM500 dengan keuntungan dalam tempoh enam jam sebanyak RM13,400 dan pelan 'pro boost' berjumlah RM800 meraih keuntungan RM20,650 dalam tempoh 10 jam.

"Pelan lain termasuk emas sebanyak RM1,250 meraih keuntungan dalam tempoh 18 jam sebanyak RM35,700 dan pelan platinum sebanyak RM2,000 dalam tempoh 30 jam bakal meraih sebanyak RM47,300.

"Mangsa tertarik dengan penjelasan berkenaan dan melabur pelan asas sebelum membuat empat kali bayaran ke dalam dua akaun bank diberikan suspek bermula 29 Januari sehingga 30 Januari lalu," katanya.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan pembayaran pertama sebagai bayaran modal pelaburan dan pembayaran seterusnya adalah bayaran untuk pelbagai caj termasuk cukai dan stamping.

Menurutnya, mangsa memaklumkan selepas memasukkan wang suspek masih lagi meminta wang, tetapi mangsa tidak mengikut arahan kerana sehingga kini tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.

"Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan pada 1 Februari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

"Malah, hasil semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat Britrex Global Trading Sdn Bhd tidak wujud.

"Justeru, kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan diragui dan disarankan membuat pertanyaan dengan Bank Negara Malaysia mengenai syarikat pelaburan sama ada berdaftar atau tidak," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akuan diragui dalam laman web http:/ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi "check scammers ccid" di PlayStore supaya dapat mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 8:20 PM