ZULKEFLI menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di kunjunggi pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. FOTO Mohd Rizal Abdullah
ZULKEFLI menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di kunjunggi pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


PATAH tiga tulang rusuk kanan dan tulang selangka. Begitulah keadaan Koperal Zulkefli Mohamad, 47, selepas terjatuh daripada motosikal ketika operasi bersepadu ‘Ice Breaker’ di Kampung Nawa, Pokok Sena di Alor Setar, semalam.

Dalam kejadian pada 11.30 pagi itu, motosikal yang ditungganginya terbabas ketika mengejar penagih dadah yang cuba melarikan diri daripada ditahan polis.

Zulkefli yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berkata, ketika cuba menahan individu terbabit, motosikal ditungganginya termasuk ke dalam lubang.

Katanya, motosikal yang ditungganginya gagal dikawal dan terbabas sehingga menyebabkan dia cedera.

“Ini adalah kejadian kali pertama sejak dalam 25 tahun saya bertugas dalam pasukan polis.

“Namun, ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya, kerana ini adalah tanggungjawab yang harus dipikul,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau ditemui ketika kunjungan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Setar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.

Hadir sama, Ketua BSJN Kota Setar, Asisten Superintendan Aldrin Gonda.

Zulkefli yang masih dalam proses rawatan antara seorang daripada 65 anggota yang terbabit dalam operasi itu yang turut dilancarkan di seluruh negara.

Operasi bermula seawal 4 pagi itu memfokuskan kepada pengedar dan penagih dadah tegar di lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan dadah.

Meskipun banyak kawasan yang dikepung, segelintir individu bertindak agresif demi memboloskan diri sehingga mengancam nyawa mereka dan polis.

Tinjauan Harian Metro juga mendapati ada penagih dadah yang berada dalam keadaan separuh sedar sehingga ada yang tidak mampu mengingati nama mereka sendiri ketika ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 4:00 PM