LELAKI kudung kaki berkenaan yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan AADK
LELAKI kudung kaki berkenaan yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan AADK
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI kudung kaki kanan antara dicekup bersama 31 penagih dadah di dusun buah berhampiran kebun getah di Port Muda Kuari Tunjang, dekat Jitra, semalam.

Lelaki 40-an itu adalah individu pertama dicekup sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu dalam serbuan bermula 9 pagi.

Ketua Operasi AADK Kubang Pasu, Mohd Shafiq Ismail berkata, lelaki orang kurang upaya (OKU) itu memberi alasan datang ke port itu kononnya mencari adiknya di kawasan itu.

“Ia adalah helah lapuk penagih bagi meraih simpati dengan harapan dapat melepaskan diri apabila ditahan.

“Hasil saringan air kencing terhadapnya mendapati individu terbabit positif dadah jenis morfin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shafiq berkata, secara keseluruhan, seramai 32 penagih berusia 20 hingga 61 tahun dikesan menjadikan kawasan itu sebagai lokasi melepaskan gian.

“Sebelum ini, lokasi sama pernah diserbu beberapa kali oleh anggota AADK, namun ia beroperasi semula sejak seminggu lalu.

“Kebanyakan penagih yang ditahan dikesan masuk ke kawasan itu secara berseorangan dengan harapan tidak dikesan pihak berkuasa.

“Namun, semua mereka berjaya ditahan dan dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

“Malah, saringan awal air kencing mendapati semua mereka positif dadah,” katanya.

Mohd Shafiq berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 3:12 PM