Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA beradik cedera di kepala, muka dan badan selepas diserang lebih 10 lelaki di sebuah restoran di Kepong Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 1 pagi itu, mangsa berusia 20-an sedang minum di restoran berkenaan sebelum diserang kumpulan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa bersama adiknya berada di hadapan restoran.

“Secara tiba-tiba mangsa diserang sekumpulan lelaki dipercayai 10 orang menggunakan pelbagai senjata termasuk kerusi dan kunci motosikal.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala, muka dan badan. Selepas menyerang kumpulan berkenaan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan ini.

Heisham berkata, kedua-dua mangsa sudah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang sejurus kejadian berkenaan.

“Polis sedang giat mengesan semua suspek yang melakukan serangan berkenaan.

RAKAMAN CCTV yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN CCTV yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh membantu dengan menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis terdekat,” katanya.

Terdahulu, video pergaduhan berdurasi 3 minit 18 saat itu tular di laman sosial.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan mangsa diserang kumpulan berkenaan.

Berdasarkan video berkenaan, beberapa individu memakai topi keledar dan menggunakan pelbagai senjata termasuk kerusi milik kedai berkenaan.

Mangsa terjatuh akibat serangan berkenaan sebelum kumpulan terbabit bertindak melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 1:30 PM