TANGKAP layar video pekerja restoran dipukul tiga lelaki dipercayai mabuk.
TANGKAP layar video pekerja restoran dipukul tiga lelaki dipercayai mabuk.
Samadi Ahmad


Sepang: Gara-gara menegur pelanggan mengambil lauk menggunakan jari dua pekerja restoran cedera dibelasah tiga lelaki dipercayai mabuk, di Cyberjaya, semalam.

Bagaimanapun, tindakan mereka akhirnya memakan diri apabila ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima laporan daripada pengurus sebuah restoran mengenai kejadian itu dan berjaya menahan tiga suspek berusia 50 hingga 51 tahun di dua lokasi berasingan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek datang ke restoran itu dan ketika berada di bahagian nasi kandar, salah seorang suspek menggunakan jarinya untuk mengambil lauk.

Katanya, teguran itu membuatkan suspek berang dan bertindak agresif dengan memukul pekerja berkenaan.

"Susulan kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami lebam pada leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, katanya, pekerja terbabit turut diugut dua lelaki berkenaan, sekali gus mendatangkan ketakutan kepada mereka.

Terdahulu, tular satu video kejadian dua lelaki memukul pekerja di sebuah restoran nasi kandar sehingga mengakibatkan kekecohan dan kerosakan barangan di premis berkenaan.

Wan Kamarul berkata, pengadu yang juga pengurus restoran mendakwa berdepan kerugian apabila peralatan dirosakkan termasuk pinggan selain banyak lauk tercemar dan terpaksa dibuang.

Menurutnya, siasatan mendapati dua daripada suspek yang masing-masing bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324, 327 dan 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 6:20 PM