GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki warga emas ditahan bagi membantu siasatan kes pembuli jalanan di persimpangan lampu isyarat Jalan Metro 1, Metro Prima, Kepong, di sini, yang tular di media sosial akhir bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Heisham Harun berkata, lelaki berusia 63 tahun berkenaan ditahan ketika datang membuat laporan mengenai insiden sama di Balai Polis Sentul jam 3 petang hari ini.

"Semakan rekod dilakukan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu van mempunyai empat rekod jenayah.

"Suspek akan direman esok bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah serta melakukan khianat selain Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat di tempat awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Heisham berkata, pihaknya turut menerima satu laporan daripada seorang lelaki bekerja sebagai ejen hartanah mengenai kejadian itu jam 2.20 petang tadi.

"Lelaki itu tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin kereta dan membaling batu ke arah keretanya di lokasi kejadian.

"Menurut pengadu, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 28 Disember lalu dengan insiden berkenaan turut tular menerusi satu video berdurasi 28 saat yang dimuat naik di media sosial," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, pengadu sedang memandu kereta Perodua Bezza di Jalan Metro Prima dan terdapat sebuah lori yang menghalang laluan.

"Sebuah kereta yang berada di belakang keretanya kemudian membunyikan hon dan memaksa pengadu meneruskan pemanduan.

"Malah, suspek memaki hamun pengadu menggunakan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu mengangkat tangan," katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di lampu isyarat Jalan Metro Prima 1, suspek datang semula ke arah keretanya sambil membawa batu dan mengetuk cermin hadapan serta tepi kanan kenderaannya selain membaling batu ke arah bumbung kereta mangsa.

"Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di ibu kota ini.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 10:15 PM