ANGGOTA polis membawa keluar barang kes untuk proses bedah siasat di Jabatan Forensik HTJ Seremban, semalam. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
ANGGOTA polis membawa keluar barang kes untuk proses bedah siasat di Jabatan Forensik HTJ Seremban, semalam. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Raja Noraina Raja Rahim


HASIL bedah siasat doktor Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJS) Seremban mengesahkan suami isteri yang ditemui mati dalam rumah di Taman Desa Melati, Nilai, Rabu lalu, disebabkan tikaman berganda.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, laporan kematian Tan Kim Joo, 73, dan Ng Chong Hwa, 67, itu diperoleh selepas proses bedah siasat dilakukan semalam.

“Berdasarkan laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah akibat tikaman berganda.

“Bagaimanapun, tiada kesan melecur di badan kedua-dua mangsa akibat kebakaran. Polis percaya rumah mangsa sengaja dibakar suspek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kayuhan Amal FGV Holdings Bhd (FGV), di Bandar Enstek, Nilai, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 malam Rabu lalu, polis menemui mayat suami isteri dengan beberapa kesan tikaman dan kelar dipercayai dibunuh sebelum rumah mereka dibakar.

Mayat Tan ditemui di bahagian dapur rumah dengan kesan kelar di tangan kiri dan lengan selain luka di dahi, manakala isterinya Ng ditemui di dalam bilik dengan kesan tikaman di dada serta kelar di lengan kiri.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Marzukee berkata, polis akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung kes bunuh itu.

Katanya, siasatan masih dijalankan dengan mengambil keterangan daripada empat suspek yang ditahan, semalam.

“Ada lagi (keterangan yang akan diambil), kita dalam usaha untuk mengumpul bukti berkaitan kes itu.

“Buat masa ini, polis sudah menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang disyaki suspek untuk bantu siasatan. Motif kejadian masih belum dikenal pasti,” katanya.

Harian Metro melaporkan, polis menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan.

Semua suspek ditahan berasingan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dan Nilai antara petang hingga pagi semalam.

Berita berkaitan

'Kes bunuh, bakar: Empat individu ditahan'

'Kelar, tikam, bakar'

'Polis jumpa kesan tikam, kelar'

'Mayat suami di dapur, isteri di bilik'

'Suami isteri dibunuh sebelum dibakar'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 5:12 PM