Antara kawasan kilang yang diperiksa dalam operasi bersepadu menggempur kilang haram di kawasan perindustrian Pasir Gudang pada 12 Julai lalu. Foto Ihsan JAS Johor
Antara kawasan kilang yang diperiksa dalam operasi bersepadu menggempur kilang haram di kawasan perindustrian Pasir Gudang pada 12 Julai lalu. Foto Ihsan JAS Johor
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Alam Sekitar (JAS) sudah mengenal pasti tiga kilang di Pasir Gudang yang disyaki beroperasi secara haram dan tindakan undang-undang akan diambil segera.

Pengarah JAS Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, tiga kilang berkenaan dikesan hasil operasi bersepadu JAS bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) serta agensi berkaitan.

“Operasi bersepadu bersama PTG dan MPPG berjaya mengesan tiga kilang haram yang beroperasi di Pasir Gudang.

“Kita ambil tindakan undang-undang mengikut akta di bawah agensi masing-masing.

“Tiga kilang ini adalah kilang kitar semula barangan terpakai lusuh atau plastik, kilang besi dan kilang pengurusan sisa pepejal,” katanya pada sidang media khas rumusan insiden gangguan kesihatan Pasir Gudang di Pejabat JAS di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar.

Wan Abdul Latiff berkata, terdapat 18 kilang haram beroperasi di kawasan berkenaan dan pihaknya akan meneruskan operasi bersepadu untuk membuat pemeriksaan.

“Rekod awal diterima daripada PTG dan Pejabat Daerah, ada 18 kilang haram di Pasir Gudang. Kita sudah pergi tiga dan akan pergi juga di premis lain yang diberitahu.

“Pada masa sama, PTG akan mengambil tindakan ke atas kilang haram yang beroperasi di atas tanah kerajaan termasuk rizab sungai, manakala MPPG akan mengambil tindakan atas kesalahan beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Sementara itu, Norlin menyeru masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pencemaran alam sekitar untuk berhubung terus dengan JAS.

Menurutnya, pihaknya akan memberikan ganjaran kepada pemberi maklumat yang tulen.

“Pemberi maklumat tulen akan diberi ganjaran dan identiti pemberi maklumat akan dilindungi.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP), ganjaran setinggi RM5,000 akan diberikan kepada pemberi maklumat mengikut senario tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 6:34 PM