Danny ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu. FOTO ASWADI ALIAS
Danny ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu. FOTO ASWADI ALIAS
BERNAMA

SEORANG lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di laman sosial Facebook, menukar pengakuan sekali lagi kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Danny Antoni, 28, menukar pengakuannya ketika kesnya disebut di hadapan hakim MM Edwin Paramjothy dan mahkamah menetapkan 26 Ogos depan untuk perbicaraan.

Danny sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dan kemudiannya menukar pengakuan kepada bersalah pada 13 Jun lalu dan hari ini sepatutnya mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Danny didakwa memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam yang mungkin boleh menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam menggunakan laman profil ‘Danny A’antonio Jr’ dengan pada 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Abdul Hadi dengan niat sama pada tempat dan masa sama mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada 10 pagi, 4 Mac lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyaraf Md Kamal memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh disabitkan kesalahan pada sebutan semula kes lalu selepas mengaku bersalah.

Bagaimanapun, Edwin Paramjothy berkata, tertuduh diwakili peguam Gabriel Soosay masih mempunyai hak untuk menukar pengakuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 3:32 PM