KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Amin Senin menyampaikan anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan kategori Kurang Upaya Penglihatan kepada Kong Meng Fatt dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Batu. FOTO NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Amin Senin menyampaikan anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan kategori Kurang Upaya Penglihatan kepada Kong Meng Fatt dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Batu. FOTO NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Siti Salmiah A Hamid


CACAT penglihatan tidak menghalang murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Batu, Kuala Lumpur apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Nilam Kebangsaan 2018 bagi Kategori Kurang Upaya Penglihatan Lelaki.

Kong Meng Fatt, 11, yang mengalami masalah itu sejak berusia setahun akibat kanser mata, dipilih menerima anugerah berkenaan kerana minatnya dengan menghabiskan masa membaca sekurang-kurangnya dua buku sehari sejak di Tahun Dua.

Anak tunggal itu berkata, pendidikan di sekolah banyak membantu dirinya kerana bukan saja didedahkan dengan kaedah pembacaan Braille, malah turut diberi peluang menggunakan teknologi yang membolehkan dia meneroka dengan lebih banyak maklumat di seluruh dunia.

“Keinginan untuk mengetahui mengenai teknologi dan digital sangat menebal dalam diri saya, walaupun tidak mampu melihat langsung, saya tetap berusaha membaca atau menggunakan teknologi kerana banyak pengetahuan boleh diperoleh.

“Saya akan meluangkan waktu untuk membaca buku tidak kira di mana saja kerana tidak mahu mensia-siakan masa terluang,” katanya ketika ditemui sempena Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Amin Senin.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Zaidi Yazid dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd Wahab Ibrahim.

Guru pusat sumber sekolah berkenaan, Mazidah Hasanah Muhajir berkata, Kong turut mempunyai keupayaan menghasilkan cerita dalam penulisan Braille, setanding kanak-kanak normal seusianya.

Manakala Saw Xin En, 12, dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Sungai Petani, Kedah, turut menerima anugerah sama bagi Kategori Kurang Upaya Penglihatan Perempuan.

Anak sulung daripada dua beradik itu meskipun mampu membaca secara normal, namun dia dikategorikan sebagai cacat penglihatan kategori B2.

“Saya amat meminati novel Bahasa Melayu dan memperuntukkan dua buku sehari sebagai bahan bacaan harian.

“Ibu bapa dan guru memberi galakan tinggi untuk saya belajar dengan lebih tekun dan saya berharap akan mendapat A dalam semua subjek dan dalam usaha ke arah itu, saya akan berusaha sedaya-upaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti,” katanya.

Selain kedua-dua pelajar itu, empat pelajar pendidikan khas turut menerima anugerah sama iaitu Ahmad Syamil Adzwan Syamsul Adzrol bagi Kategori Kurang Upaya Pendengaran Lelaki, Chua Pei Wen (Kategori Kurang Upaya Pendengaran Perempuan), Muhammad Nabil Aimi Adresulfi (Kategori Masalah Pembelajaran Lelaki) dan Nurul Saadah Hafni Che Husin (Kategori Masalah Pembelajaran Perempuan).

Hasil kejayaan itu melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM500, tablet, sijil dan cenderamata.

Dalam majlis itu, seramai 26 murid dari 26 sekolah di seluruh negara terpilih ke pertandingan peringkat kebangsaan yang menyaksikan lima kategori dipertandingkan iaitu Sekolah Rendah Kategori Bahasa Melayu, Sekolah Rendah Kategori Bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Kategori Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kategori Bahasa Inggeris dan Pendidikan Khas.

Sementara itu, Dr Amin berkata, pendekatan baru dilaksanakan bagi memastikan budaya membaca dipertingkatkan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 untuk mempersiapkan generasi muda dalam menghadapi keperluan abad ke-21.

Katanya, program Nilam ditambah baik dengan meluaskan pembacaan murid kepada bahan interaktif dalam talian, bahan bercetak serta bukan bercetak dan tidak terhad kepada buku semata.

“Program Nilam perlu ditekankan sebagai persediaan ke arah kecemerlangan dalam Programme for International Student Assessment (PISA).

“Melalui budaya membaca ini, murid berupaya mengamalkan pembelajaran secara akses kendiri dan terarah kendiri mengikut kadar pembelajaran sendiri secara berterusan.

“Semoga inisiatif dalam program Nilam akan membuahkan kejayaan dalam PISA 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 5:15 PM