ZAWAWI (duduk tengah) bersama Lizan (dua kiri) dan Abdul Manan (dua kanan) melepaskan anak penyu sempena Program Pelepasan Anak Penyu bersama penduduk Paka di Pantai Paka, Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham.
ZAWAWI (duduk tengah) bersama Lizan (dua kiri) dan Abdul Manan (dua kanan) melepaskan anak penyu sempena Program Pelepasan Anak Penyu bersama penduduk Paka di Pantai Paka, Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


JABATAN Perikanan Terengganu bercadang untuk membeli telur penyu jenis belimbing dari luar negara.

Pengarahnya, Zawawi Ali berkata, cadangan itu akan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada satu bengkel diadakan pada Oktober nanti.

Beliau berkata, cadangan itu adalah langkah terakhir bagi memastikan penyu belimbing kembali mendarat di pantai negeri ini.

“Kami dapati spesies penyu belimbing tidak lagi mendarat di Terengganu dan kali terakhir jenis ini mendarat di Rantau Abang pada 2017.

“Selain belimbing, penyu jenis lipas dikesan langsung tidak singgah naik bertelur di negeri ini sejak 2010. Penyu jenis ini ada di perairan Terengganu, tapi tak naik bertelur,” katanya ketika melepaskan 2,000 anak penyu di Pantai Hotel The Qamar Paka, Dungun, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat dan Pengurus Hotel The Qamar, Abdul Manan Abdul Manaf.

Mengulas mengenai bengkel bakal dilaksanakan itu, Zawawi berkata, program terbabit akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan membabitkan pelbagai saintis serta pengkaji.

“Melalui bengkel itu, kami akan bincangkan pelbagai masalah sehingga beberapa jenis penyu ini tidak mendarat di Terengganu.

“Kami akan kemukakan cadangan membeli telur terbabit dari negara luar, sekiranya keputusan bersetuju kami akan membeli telur dari Papua New Guinea,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya cuba mengeramkan telur itu dengan sebaik mungkin dan apabila menetas anak penyu terbabit akan dilepaskan ke laut.

Menurutnya, pihaknya berharap penyu terbabit akan naik bertelur di pantai Terengganu selepas 20 tahun dilepaskan.

“Untuk rekod pendaratan penyu pada tahun lalu mencatatkan pengurangan iaitu 3,815 pendaratan berbanding 3,888 pendaratan pada 2018.

“Pada tahun ini, kami jangka pendaratan penyu ini akan kembali tinggi melebihi 9,000 kali pendaratan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 12:36 AM