Zawawi (tengah) melepaskan anak penyu Agar di Pantai Kertih, Kemaman. FOTO Rosli Ilham
Zawawi (tengah) melepaskan anak penyu Agar di Pantai Kertih, Kemaman. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


JABATAN Perikanan Terengganu bercadang membeli telur penyu Belimbing dari negara luar bagi membolehkan spesis itu mendarat kembali di pantai Terengganu.

Pengarahnya, Zawawi Ali berkata, pihaknya mendapati spesis Belimbing tidak lagi mendarat di Terengganu dan kali terakhir ia mendarat di Rantau Abang, Dungun pada 2010.

"Jadi kita akan cuba membeli telur spesis itu dan membawanya pulang ke Terengganu untuk diperamkan.

"Kita bercadang membeli telur ini di Papua New Guinea atau Indonesia yang merekodkan pendaratan yang banyak," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan 1,500 anak penyu jenis Agar di Pantai Kertih, Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Rohani Abdullah.

Zawawi berkata, pihaknya akan meminta bantuan kerajaan negeri bagi mendapatkan bekalan telur itu yang akan diperam di negeri ini.

"Sebiji telur itu dijual dengan harga RM8 dan buat permulaan, kita akan membeli antara 300 hingga 500 biji.

"Sebaik ia menetas, anak penyu ini akan dilepaskan ke laut dan kita sama-sama berdoa agar 20 tahun lagi penyu Belimbing ini akan kembali dan bertelur di pantai Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Zawawi turut menyeru badan antarabangsa supaya membantah keras agar negara luar menghentikan amalan memakan telur serta penyu.

"Kita sangat sedih apabila ada negara masih makan telur dan daging penyu sedangkan mereka tahu spesis itu semakin pupus.

"Malaysia antara negara yang membantah keras amalan memakan telur penyu dan sejak kempen itu dilancarkan, generasi muda sudah tidak berminat memakan telur penyu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:56 PM