Tun Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Tun Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohd Husni Mohd Noor


“EMPAT parti Melayu sudah cukup, tak (tidak) payah buka (tubuh) parti baru,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, politik adalah perkara serius dan bukannya tubuh parti untuk memuaskan hati mana-mana pihak.

Katanya, memadai hanya empat parti Melayu ketika ini iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS untuk memperjuangkan nasib Melayu.

“Orang Melayu tak (tidak) pandai politik. Mereka seronok nak (hendak) jadi presiden...bila seronok nak jadi presiden, mereka buka parti baru.

“Jika semakin lama semakin banyak parti, lama-lama orang Melayu tiada kuasa langsung. Cukuplah empat parti ini. Orang Melayu ketinggalan bukan sebab parti tapi kerana tidak bersatu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepemimpinan Perdana (YKP), Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, kenyataan itu bukan bersifat sentimen rasis sebaliknya mahu menyelamatkan orang Melayu daripada terus ketinggalan.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Majlis Presiden PH berkata, rakan-rakan parti komponen dalam PH juga mendapati beliau tidak salah kerana mengeluarkan kenyataan (pelawaan) itu.

Ditanya sama ada tindakan (pelawaan) itu susulan kebimbangan sokongan orang Melayu terhadap PH, Dr Mahathir berkata, beliau tidak bimbangkan perkara itu sebaliknya tindakan menubuhkan parti baru tidak akan selesaikan masalah orang Melayu.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik kaum itu memandangkan kini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU Johor yang diadakan di Dewan Serbaguna Johor Jaya, Johor Bahru, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:25 PM