FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


PERJALANAN seorang penuntut universiti tempatan di Kuala Terengganu menunaikan solat Jumaat di masjid bertukar detik hitam apabila dia bukan sahaja diugut, dipukul dan disamun, malah dilarikan tiga lelaki tidak dikenali sehingga ke Machang, Kelantan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, penuntut lelaki yang juga warga Bangladesh berusia 27 tahun menunggang motosikal miliknya untuk ke sebuah masjid di Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus, sebelum ditahan seorang lelaki warga Myanmar tidak dikenali.

Sumber berkata, suspek kemudian terus menaiki motosikal ditunggangi mangsa dan mengarahkan penuntut itu membawanya ke kawasan hutan berhampiran pantai di universiti itu.

“Mangsa yang ketakutan hanya menuruti kehendak suspek dan sebaik sampai di kawasan diarahkan, dua lelaki termasuk seorang daripadanya dipercayai warga Myanmar sudah sedia menunggu di dalam kereta Proton Wira berwarna perak.

“Sebaik motosikal mangsa menghampiri kenderaan itu, dia terus dipukul sebelum ditarik masuk ke dalam kereta dan dipukul berkali-kali oleh suspek.

“Mangsa yang kesakitan menjerit meminta suspek menghentikan perbuatan itu, bagaimanapun, suspek yang berang mangsa membuat bising mengugut penuntut itu dengan menunjukkan isyarat potong kepala dan terus memukul mangsa menggunakan playar,” katanya.

Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, suspek kemudian menutup kepala mangsa dan mengikat tangannya sebelum membawa penuntut itu ke sebuah destinasi tidak diketahui.

“Bagaimanapun, keesokan harinya, 8.30 pagi, mangsa berjaya melepaskan diri selepas memberi nombor pin kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada suspek lalu melarikan diri sehingga tiba di Balai Polis Machang, Kelantan.

“Pemeriksaan kemudian mendapati, suspek mengambil beg duit mangsa mengandungi kad imigresen, wang tunai RM450, tiga kad ATM, beberapa dokumen penting serta turut melarikan dua telefon bimbit milik mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di muka, kepala, tangan dan seluruh badan membuat laporan polis kemudian dihantar pulang ke Terengganu dan kini ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, polis masih mengesan tiga suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:04 PM