SALAH seorang peserta OKU penglihatan dibantu sukarelawan mengambil bahagian dalam acara memanah anjuran JPWKMT sempena Fit Malaysia 2019 di Batu Burok, Kuala Terengganu. FOTO BERNAMA
SALAH seorang peserta OKU penglihatan dibantu sukarelawan mengambil bahagian dalam acara memanah anjuran JPWKMT sempena Fit Malaysia 2019 di Batu Burok, Kuala Terengganu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

CACAT penglihatan sejak lahir bukanlah penghalang bagi Nur Aqilah Salim dari Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu, untuk menceburi sukan memanah seperti golongan normal lain.

Malah, kekurangan itu menjadi pembakar semangat untuknya membuktikan kepada masyarakat bahawa tiada perkara mustahil untuk dicapai jika memiliki keazaman dan gigih berusaha.

Nur Aqilah Salim, 23, berkata minat terhadap sukan memanah timbul apabila aktiviti itu diperkenalkan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, dua tahun lalu.

“Kedua ibu bapa saya juga cacat penglihatan tetapi mereka memberi dorongan supaya saya menyertai sukan ini bagi mengisi masa lapang.

“Walaupun sangat sukar pada mulanya kerana jarak penglihatan terhad, saya paksakan diri dan sekarang boleh dikatakan sudah agak mahir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program memanah anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu (JPWKMT) di Padang Awam Batu Buruk, hari ini.

Program disertai kira-kira 70 wanita termasuk anggota PERTIS, kakitangan jabatan kerajaan dan golongan profesional bertujuan membantu wanita menangani tekanan dengan cara bersukan.

Turut hadir Pengarah JPWKMT, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman.

Sementara itu, seorang lagi peserta cacat penglihatan, Anina Mohd Zaman, 45, mengakui mula mengikuti aktiviti memanah sejak setahun lalu bagi beriadah dan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW.

Menurut Anina yang juga seorang suri rumah, aktiviti memanah bagi golongan sepertinya memerlukan juru pandu arah bagi menentukan sasaran tepat sebelum anak panah dilepaskan.

“Tetapi ada juga rakan yang tidak memerlukan bantuan juru pandu kerana sudah lama berlatih dan mengikut naluri yang dikurniakan Allah SWT.

“Sukan ini sangat mencabar bukan sahaja bagi golongan seperti kami, malah bagi orang normal kerana ia memerlukan ketenangan serta fokus yang tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 9:24 PM