Suraya Roslan


KERAJAAN Russia membidas keputusan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) MH17 sebagai tidak berasas yang sengaja ditimbulkan untuk memburukkan imej negara itu di mata komuniti antarabangsa.

Kementerian Luar Russia dalam satu kenyataan berkata, kenyataan dibuat JIT dalam sidang media semalam mengenai dakwaan pembabitan beberapa anggota perkhidmatan Russia dalam nahas pesawat Malaysia Airlines Flight MH17 amat dikesali.

“Russia sekali lagi mendapati tuduhan tidak berasas ini bertujuan menjatuhkan hukuman di mata komuniti antarabangsa.

“Seperti yang berlaku pada sidang media sebelum ini, JIT tidak menghasilkan satu bukti konkrit tunggal untuk menyokong kenyataan mereka yang tidak berasas,” kata kenyataan rasmi daripada Kedutaan Russia di Malaysia, Jalan Ampang, hari ini.

Dalam kenyataan itu, JIT terus mengemukakan hujah yang tidak munasabah dan beberapa maklumat didasarkan pada sumber meragukan.

“Data yang diserahkan oleh pasukan siasatan Russia diabaikan dengan sengaja. Malah, JIT menuduh Russia tidak memberi kerjasama penuh. Kami menafikan tuduhan berkenaan.

“Dari hari pertama tragedi, Russia bersedia untuk menyediakan ‘bantuan sepenuhnya kepada siasatan’ tetapi ditolak keluar daripada siasatan,” katanya.

Katanya, Russia secara aktif bekerjasama dengan Belanda dan membentangkan semua maklumat yang ada mengenai nahas MH17.

“Dalam proses ini, agensi berkaitan di Russia menjalankan siasatan daripada mengesahkan maklumat mengenai peralatan ketenteraan Russia dan eksperimen teliti dengan kerjasama Almaz-Antei untuk menyediakan data radar utama dan dokumen yang memperlihatkan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat milik Malaysia itu datang dari Ukraine seperti video dibuat JIT.

“Dari awal lagi, Russia mencadangkan untuk bekerjasama sebaliknya penyiasat antarabangsa mengecualikan Russia daripada penyertaan penuh dalam JIT.

“Tetapi, JIT menerima Ukraine sebagai wakil penuh dalam JIT, memberikan mereka peluang untuk memalsukan bukti dan mengelak sepenuhnya bertanggungjawab kerana gagal menutup ruang udaranya,” katanya.

Katanya, semua persoalan ini menimbulkan keraguan mengenai hasil siasatan dilakukan JIT.

“Semua ini mengesahkan kebimbangan kami dan menganggap siasatan dilakukan bersifat berat sebelah.

“Bagaimanapun, Russia akan terus membantu siasatan supaya kebenaran siapa yang bertanggungjawab dalam nahas MH17 diketahui dan pesalah sebenar dihukum dengan sewajarnya,” katanya.

Dalam tragedi 17 Julai 2014, pesawat Malaysian Airlines MH17 meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Berita berkaitan

Dakwa dalang tembak [METROTV]

MH17: Presiden Ukraine mahu suspek dibicarakan

MH17: 'Mahu lihat wajah pembunuh' [METROTV]

MH17: ‘Kami takkan puas hati, selagi...'

MH17: Empat perancang utama dikenal pasti [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 2:26 PM