GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


PERCUTIAN suami isteri ke Pulau Redang yang sepatutnya disulami kegembiraan bertukar sebaliknya apabila diserang tiga lelaki, termasuk dibaling dengan kerusi.

Dalam kejadian 11.30 pagi Isnin lalu, mangsa yang juga seorang peniaga bersama suaminya dari Pulau Pinang datang ke resort di pulau berkenaan untuk bercuti.

Sumber berkata, ketika melakukan urusan pendaftaran masuk di resort berkenaan, suami mangsa berusia 30-an dilanggar seorang lelaki tidak dikenali di bahagian bahu.

“Mangsa tidak mengendahkan kejadian itu lalu terus mengambil bagasi masing-masing untuk masuk ke bilik.

“Bagaimanapun, tiba-tiba datang tiga lelaki dengan seorang daripadanya dikenali mangsa dan tidak semena-mena mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki hamun tanpa diketahui puncanya.

“Pasangan itu yang enggan terjerat dengan ‘permainan’ lelaki berkenaan kemudian terus beredar untuk masuk ke bilik tanpa mempedulikan lelaki itu,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Sumber berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila seorang daripada lelaki berkenaan bertindak luar kawalan dengan membaling kerusi ke arah pasangan itu, namun mereka bernasib baik kerana sempat mengelak.

“Suspek yang tidak berpuas hati kerusi itu tidak mengenai mangsanya kemudian bertindak memukul suami wanita berkenaan sebelum mangsa segera masuk ke bilik dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa mengenali seorang daripada suspek dan kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara kedua-dua mereka berhubung isu perniagaan,” katanya.

Kata sumber, mangsa turut mendakwa sebelum ini pernah menerima ugutan daripada dua wanita tidak dikenali dan bimbang keselamatan dirinya dan suami, pasangan itu membuat laporan di Balai Polis Pulau Redang untuk tindakan lanjut.

Katanya, pasangan itu turut dipindahkan ke resort berhampiran oleh pengurusan resort berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini terutama keselamatan mangsa.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 7:15 PM