MOTOSIKAL dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan di tepi pagar landasan. FOTO ihsan pembaca
MOTOSIKAL dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan di tepi pagar landasan. FOTO ihsan pembaca
Nur Izzati Mohamad


MAYAT lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan di landasan kereta api Permatang Setar, Kepala Batas, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 9.50 pagi itu mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti dipercayai masuk ke landasan sebelum digilis kereta api yang melalui kawasan terbabit.

Kejadian disedari pemandu komuter sebelum seorang kapten Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) memberhentikan tren untuk mengalih mayat dan meneruskan semula perjalanan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan mendapati mangsa diseret sejauh 230 meter melalui penemuan darah ,cebisan daging dan pakaiannya di atas landasan.

Katanya, manakala kaki kirinya yang terputus pula ditemui di luar laluan kereta api.

“Kawasan kereta api ini berpagar jaring besi dan tidak boleh dimasuki orang atau binatang. Namun, terdapat satu lubang pagar yang dipercayai digunakan penduduk kampung untuk melintas laluan kereta api terbabit yang mana mangsa dipercayai masuk sebelum digilis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang senjata tajam atau alatan lain ditemui di lokasi kejadian.

Noorzainy berkata, polis turut menemui sebuah motosikal Suzuki RC100 tersandar di tepi pagar dipercayai digunakan mangsa sebelum memasuki kawasan laluan kereta api terbabit.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan mangsa membunuh diri,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 4:43 PM