MOTOSIKAL mangsa. FOTO Rosli Ilham
MOTOSIKAL mangsa. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


PELAJAR maut selepas motosikal ditunggang merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 157, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di Geliga, Chukai, hari ini.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, Abdul Rahman Mohd Azmi, 16, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian muka dan kepala.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dari arah Geliga ke Bandar Kemaman dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik.

Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Sultan Ismail 2 di Chukai, kemudiannya tercampak dan melanggar besi penghadang jalan.

Timbalan Ketua Polis Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di jalan berselekoh dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Mak Chili.

“Polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa meninggal dunia serta-merta akibat kemalangan itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes ini akan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 11:47 PM