Lagak samseng jalanan yang menunggang motosikal secara berbahaya. FOTO ihsan polis
Lagak samseng jalanan yang menunggang motosikal secara berbahaya. FOTO ihsan polis
Norizuan Shamsuddin

TINDAKAN lima lelaki termasuk dua pelajar menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘wheely’ membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Semua yang berusia 14 hingga 27 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam operasi yang dijalankan bermula 1 pagi itu.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, seramai sembilan pegawai dan anggota daripada Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur dikerahkan bagi menangani aktiviti samseng jalanan di sekitar ibu kota.

Katanya, hasil risikan dilakukan mendapati mereka menunggang motosikal secara bahaya dengan melakukan wheely.

“Susulan itu, semua yang ditahan tidak memiliki lesen memandu.

“Pemeriksaan terhadap motosikal mendapati kenderaan terbabit diubahsuai termasuk dengan menggunakan ekzos bising, nombor pendaftaran tidak menepati spesifikasi dan tiada cermin sisi.

“Mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara bahaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam operasi berasingan, Zulkifli berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki selepas didapati menunggang motosikal curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu hasil Op Motosikal dilaksanakan di Jalan Pahang bermula jam 11 malam hingga 1 pagi.

“Hasil operasi itu, kita menahan seorang lelaki berusia 45 tahun kerana menggunakan motosikal model Honda EX5 yang dilaporkan hilang pada tahun 2017 di Kuala Lumpur.

“Manakala seorang lagi adalah lelaki berusia 30 tahun ditahan kerana menunggang jenis skuter yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan mereka di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

“Hasil operasi selama dua jam terbabit sebanyak 118 saman dikeluarkan terhadap penunggang motorsikal kerana pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh, ubahsuai dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 4:10 PM