Aksi gaya 'Superman' di Lebuhraya DUKE hari ini.
Aksi gaya 'Superman' di Lebuhraya DUKE hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


PADAH menunggang motosikal dengan gaya ‘Superman’, empat lelaki ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan (Op Samseng Jalanan) di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di Kuala Lumpur hari ini.

Operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod dari jam 1.30 hingga 4.30 pagi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil rondaan dan risikan di lokasi terbabit mendapati berlaku aktiviti rempit membabitkan beberapa motosikal ditunggang sekumpulan lelaki.

“Kami berjaya merakam aksi ‘Superman’ dilakukan empat lelaki berusia antara 16 hingga 30 tahun dalam operasi itu.

“Pemeriksaan mendapati dua remaja tidak bersekolah masing-masing berusia 16 dan 17 tahun tiada lesen manakala seorang lagi pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun didapati menunggang motosikal tanpa lesen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkefly berkata, keempat-empat individu terbabit turut didapati melakukan kesalahan lain termasuk melakukan pengubahsuaian pada motosikal ditunggang mereka.

“Mereka turut mengubah suai sistem enjin motosikal untuk menambah kelajuan dan komponen lain seperti ekzos mempunyai bunyi sangat kuat serta tayar menggunakan tayar kecil.

“Mereka juga menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ yang tidak mengikut skala ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, empat lelaki terbabit bersama motosikal mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara bahaya dengan menunjukkan aksi ‘Superman’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 2:53 PM