Jenazah tiga beranak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Palong Timur, Batu Anam pagi tadi. FOTO Ahmad Ismail
Jenazah tiga beranak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Palong Timur, Batu Anam pagi tadi. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


SUASANA pilu mengiringi jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15 Jalan Mersing - Endau, Segamat semalam ketika mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Palong Timur, Batu Anam, pagi tadi.

Tiga beranak itu dikebumikan 9.30 pagi tadi diiringi hampir 500 orang termasuk keluarga dan sahabat bagi memberi penghormatan terakhir kepada mereka walaupun hujan renyai.

Allahyarham Nurul Jannah Talib, 29 dan anaknya, Muhammad Darwisy, 4, meninggal dunia di tempat kejadian apabila Proton Wira dinaiki bertembung Proton Exora manakala pemandu yang juga ketua keluarga, Mohd Safar Zakaria, 34, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Mersing.

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu tiba di rumah bapa Mohd Safar, Zakaria Ahmad Talil, 60, di Felda Palong Timur pada 5 pagi tadi dari Unit Forensik Hospital Mersing.

Solat jenazah dilakukan di rumah itu disertai kira-kira 30 jemaah terdiri sanak saudara, rakan dan jiran terdekat.

Zakaria bersyukur semua urusan dipermudahkan dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Katanya, sebelum kejadian, anak kedua daripada enam beradik itu dilihat lebih ceria berbanding biasa dan ketika berkonvoi pada hari kejadian, arwah sekeluarga ketinggalan di belakang.

“Kami tahu dia ketinggalan namun tidak tahu mereka terbabit kemalangan, sepanjang perjalanan dia kelihatan ceria bersama keluarga.

“Memang kami terasa kehilangan mereka terutama kejadian berlaku pada Aidilfitri kedua, namun kami reda dengan apa yang berlaku.

“Sekarang ini, apa yang penting adalah kesihatan dan masa depan dua anak arwah, Nur Ummi Qaisara, 10, yang parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan adiknya, Nur Dawishya, 6, yang patah kedua-dua bahu dan kini di Hospital Mersing,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian tiga beranak itu.

Dalam kejadian 11 pagi semalam, Proton Wira dipandu Mohd Safar dikatakan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh Proton Exora dari arah bertentangan.

Rempuhan kuat itu turut menyebabkan dua penumpang Proton Exora, remaja lelaki 18 tahun dan wanita berusia 22 tahun parah.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tragedi kali pertama berkonvoi

Tiga beranak maut, lapan cedera kereta bertembung

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 4:09 PM