BASIKAL dan telefon bimbit yang disamun. FOTO Ihsan Polis
BASIKAL dan telefon bimbit yang disamun. FOTO Ihsan Polis
Siraj Mohd Zaini


PADAH menyamun dua pekerja kilang warga Bangladesh, tiga suspek lelaki diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan kegiatan jenayah itu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, kedua-dua mangsa sedang menaiki basikal di Jalan Kenangan, Meru Tambahan, Klang sebelum didatangi dua suspek berkenaan.

Menurutnya, suspek kemudiannya menahan mereka sebelum mengambil barangan miliknya seperti wang tunai berjumlah RM225, sebuah telefon pintar dan dua basikal yang dinaiki mangsa.

“Suspek juga menumbuk mangsa di bahagian badan dan tangan sebelum melarikan diri bersama barang-barang yang disamun.

“Mangsa kemudiannya tampil ke balai polis dan membuat laporan mengenai kejadian berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Nurulhuda berkata, sepasukan anggota dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kemudiannya pergi ke sebuah lokasi di Taman Daya Meru sebelum menangkap seorang lelaki berusia 40 tahun jam 1.30 pagi.

Katanya, 10 minit kemudian dua lagi suspek berusia 18 dan 44 tahun ditahan di lokasi berhampiran.

“Ketiga-tiga suspek memiliki rekod lampau berkaitan curi motosikal, gaduh, samun bersenjata serta dadah.

“Turut ditemui dua basikal dan telefon pintar dipercayai milik mangsa yang disamun,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 4:14 PM