Redzuan Muharam

PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020 edisi ke-13 diteruskan menerusi kunjungan dan penyampaian sumbangan di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kampung Sekamat yang menempatkan golongan warga emas.

Kunjungan itu diketuai Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Pengurus Seksyen C5 KL-Seremban PLUS Malaysia Yacob Sapingi.

Menurut Husain, Pusat Jagaan Al-Fikrah adalah lokasi keempat dikunjungi selepas Gopeng, Perak; Kempas, Johor dan Kemaman, Terengganu.

"Ini pertama kali program TKHM ke Kajang bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik dan ia diadakan dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

"Sumbangan diberikan adalah barangan keperluan asas dan wang tunai RM5,000 yang disalurkan terus ke akaun pusat jagaan secara dalam talian.

"Diharap, kisah disiarkan nanti dapat menarik pihak lain untuk menjalin kerjasama dengan Harian Metro bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Pengerusi Pusat Jagaan Al -Fikrah Mohd Azmi Mohd Zain.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Dr Zaitol Salleh.

HUSAIN (kiri) bersama Yacob (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Azmi sambil diperhatikan Dr Zaitol. FOTO Aizuddin Saad
HUSAIN (kiri) bersama Yacob (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Azmi sambil diperhatikan Dr Zaitol. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, Mohd Azmi menyambut baik baik dan berbesar hati dengan kunjungan Harian Metro, PLUS serta JKM ke pusat jagaan di bawah kendaliannya.

Katanya, kedatangan itu sedikit sebanyak menceriakan penghuni yang kesedihan kerana tidak menerima banyak kunjungan pada Ramadan tahun ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Alhamdulillah, terima kasih kepada Harian Metro kerana sudi datang dan mewakili kakitangan dan penghuni pusat jagaan, saya rasa amat bertuah.

"Ini kerana sejak PKP, tiada orang berani datang. Kita rasa amat sedih dan diharap, program ini tidak terhenti di sini," katanya.

Penghuni, Abdul Rahim Abdullah, 62, yang mengalami angin ahmar ringan bersyukur kerana TKHM sudi mengadakan kunjungan walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Sedih kerana tahun ini tidak dapat baju raya, orang pun tidak dapat ziarah ke sini berbanding tahun lalu.

"Apabila TKHM berziarah, kami semua gembira dan berharap ada lagi kunjungan pada masa akan datang," katanya yang menjadi penghuni pusat jagaan sejak empat tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 10:15 AM