SUSPEK direman selama tujuh hari kerana cuba memberi rasuah RM1,600 kepada anggota PGA. FOTO Zaman Huri Isa
SUSPEK direman selama tujuh hari kerana cuba memberi rasuah RM1,600 kepada anggota PGA. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


LELAKI warga Thailand direman selama tujuh hari kerana cuba memberi rasuah RM1,600 kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu dalam serbuan di Taman Chempaka, Tanah Merah, dua minggu lalu.

Difahamkan suspek berusia 30-an berbuat demikian terhadap anggota berpangkat sarjan sebagai dorongan bagi mengelakkan ditangkap selepas disyaki memiliki kenderaan curi, kereta klon dan syabu seberat 3.4 gram.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Amni Mat Jahari mengeluarkan perintah reman itu terhadap suspek di Mahkamah Kota Bharu bermula hari ini sehingga 5 Jun untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Thailand berusia 30-an bersama tiga lagi rakannya ditahan dalam serbuan PGA.

Bagaimanapun suspek cuba menyogok anggota untuk mengelakkan daripada ditahan.

Anggota PGA menolak sogokan itu dan terus menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 2:26 PM