JOHARA (kiri) memotong kain pelanggan untuk dijadikan pakaian sebelum tiba Aidilfitri. FOTO: Ramli Ibrahim
JOHARA (kiri) memotong kain pelanggan untuk dijadikan pakaian sebelum tiba Aidilfitri. FOTO: Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


GUA MUSANG: Wanita masyarakat Orang Asli ini tidak menang tangan melayan tempahan menjahit pakaian menjelang Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Apa yang membanggakan Johara Ibrahim, 42, menjadi wanita masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Temiar yang pertama di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, memiliki kemahiran menjahit.

Katanya, dia tidak pernah menolak tempahan dan sanggup bekerja keras menyiapkan pakaian berkenaan kerana tidak mahu menghampakan pelanggan.

Menurutnya, pelanggannya adalah dalam kalangan wanita masyarakat Orang Asli sendiri dan Melayu. Bagi memastikan tempahan disiapkan sebelum Aidilfitri, Johara mengupah seorang pembantu. Dia akan menyiapkan tempahan pelanggan lebih awal sebelum tarikh berkenaan.

“Apa yang penting ialah saya dapat membuktikan masyarakat Orang Asli juga boleh menguasai pelbagai kemahiran seperti menjahit pakaian.

“Saya menanam impian mahu ubah persepsi negatif terhadap masyarakat Orang Asli yang kononnya hidup mundur dan tiada kebolehan,” katanya.

Kemahiran menjahit dimanfaatkan untuk menjana pendapatan sendiri dan menyara keluarganya sejak 17 tahun lalu. Menceritakan mengenai perkhidmatan ditawarkan, Johara berkata, ia bermula selepas dia mengikuti kursus menjahit pakaian anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Pahang pada 1998.

“Berbekalkan ilmu diperoleh, saya nekad mengubah hidup dan mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun serta pelanggan semakin bertambah,” katanya.

Peredaran zaman menyebabkan Johara kini terpaksa bersaing dengan peniaga menjual pakaian siap.

“Biar apa juga cabaran saya tidak patah semangat kerana percaya setiap orang memiliki kemahiran dan kelebihan masing-masing.

“JAKOA menyediakan sebuah premis dan bantuan empat mesin jahit untuk saya mengembangkan perniagaan dalam bidang jahitan.

“Setakat ini, saya menerima tempahan 100 pasang baju kurung, baju Melayu, jubah, seragam sekolah dan jururawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 6:20 AM