ANGGOTA bomba berusaha keras memadam api pada bas tanpa penumpang yang terbakar di Kulai. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha keras memadam api pada bas tanpa penumpang yang terbakar di Kulai. FOTO ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU wanita terselamat selepas bas ekspres yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Kilometer 19.8, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Kulai, hari ini.

Kejadian jam 12.15 tengah hari itu berlaku ketika bas dipandu Nur Hidayah Rahman, 31, dalam perjalanan dari Kluang ke Johor Bahru.

Bagaimanapun kenderaan itu tidak membawa penumpang sebelum terbakar secara tiba-tiba ketika tiba di lokasi berkenaan.

Pegawai Operasi Abd Malik Abdul Rahman berkata, seramai tiga anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai diarah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.20 tengah hari.

“Kita turut mendapatkan bantuan lima anggota dan sebuah lagi jentera dari BBP Skudai,” katanya.

Menurutnya, bas itu terbakar ketika dalam perjalanan dan tiada penumpang ketika kejadian selain pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya yang memberitahu operasi ditamatkan pada jam 12.53 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:41 PM