SURHAYA  bersama tiga anaknya menunjukkan hidangan berbuka puasa dan bersahur setiap hari  di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang.
SURHAYA bersama tiga anaknya menunjukkan hidangan berbuka puasa dan bersahur setiap hari di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang.
Ramli Ibrahim


LIMA beranak di Kampung Lepan Jaya di sini, hanya mampu berbuka dan bersahur dengan nasi berlaukkan ikan kering serta berkuahkan budu akibat kemiskinan hidup.

Malah, makanan itu menjadi menu harian sejak tinggal di pondok usang di kampung itu 12 tahun lalu kerana tidak mampu menyediakan lauk seperti ayam atau ikan sebagaimana hidangan orang lain.

Surhaya Musa, 31, berkata, walaupun beberapa kali anaknya meminta lauk ayam sejak seminggu lalu, dia terpaksa mengabaikannya kerana wang yang ada untuk menampung persekolahan tiga anak.

“Tiga anak masih bersekolah iaitu Muhammad Ammar Hakim Amran, 12, Muhammad Faris Hakim, 7, dan Nur Alisha Qaisara, 5.

“Pendapatan suami saya, Amran Roseh, 37, yang bekerja kampung termasuk membersihkan kebun penduduk dengan upah tidak menentu sekitar RM300 sebulan sahaja dan jumlah itu tidak mencukupi.

PONDOK usang didiami lima beranak.
PONDOK usang didiami lima beranak.

“Saya tidak boleh membantu suami menambah rezeki kerana menghidap penyakit asma dan sawan sejak berusia 15 tahun,” katanya.

Menurutnya, pondok usang yang menjadi tempat tinggal sekarang dibina suaminya menggunakan zink dan kayu terbuang dan keadaannya semakin daif menunggu masa untuk runtuh.

Katanya, pondok usang itu dibina atas tanah mentua di kampung berkenaan dan tidak mampu membina sebuah rumah yang sempurna kerana miskin.

Dia juga mengakui sebelum ini beberapa kali memohon bantuan kediaman selesa daripada jabatan dan agensi kerajaan di Gua Musang, tetapi semuanya tidak berjaya.

“Kami lima beranak terpaksa tidur berhimpit dalam pondok usang ini dan apabila hujan masing-masing mengensot ke tempat selamat kerana atap bocor.

“Setiap kali cuti minggu persekolahan, saya mengharapkan anak sulung memancing ikan di anak sungai untuk dijadikan lauk berbuka puasa dan bersahur.

“Itupun bergantung kepada rezeki, tetapi kelmarin anak saya turun rumah awal untuk memancing ikan, tetapi pulang tanpa memperoleh seekor ikan...mungkin tak ada rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:00 AM