Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Nurul Fhatihah Zakinan


TENAGA Nasional Berhad (TNB) diminta memastikan pelaksanaan sistem dan aplikasi meter pintar berfungsi sepenuhnya bagi tujuan maklumat pengguna menerusi telefon pintar masing-masing di Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia bertujuan memudahkan pengguna untuk mengakses aplikasi meter pintar berkenaan selain membantu mereka memantau penggunaan tenaga elektrik yang digunakan setiap hari.

“Jika aplikasi kadar penggunaan mengalami gangguan, dan (paparan) berbeza dengan apa yang digunakan manakala sistem meter pintar juga tidak berfungsi dengan sempurna, ini akan menimbulkan masalah kepada masyarakat.

“Paling penting, aplikasi dilakukan dengan sempurna. Yang jadi masalah, makluman aplikasi itu tidak diberi kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Adly berkata, setakat ini penggunaan sistem meter pintar sudah membabitkan 250,000 pemasangan di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, satu peratus atau 2,500 daripadanya melaporkan kepada TNB.

“Daripada 2,500 itu juga, 1,600 daripadanya sudah diambil tindakan melalui semakan semula penggunaan meter di lokasi dan memberi beberapa cadangan selain dipulangkan (wang) jika ada lebihan caj,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri setakat ini tidak berhasrat kembali kepada sistem meter lama sebaliknya meminta TNB menubuhkan pasukan khas bagi menangani isu terbabit.

TNB dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin,memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan berjanji akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik selepas isu bil semasa yang didakwa tinggi selepas pemasangan meter pintar di negeri itu tular melalui media sosial, Facebook.

Menurut kenyataan itu juga, TNB memberi jaminan kepada pengguna berhubung tiada pemotongan bekalan elektrik sementara aduan diperinci, semakan bagi setiap aduan diterima segera serta jika berlaku lebihan caj ke atas bil pengguna ia akan dikredit semula dalam bil seterusnya.

Berita berkaitan

Bil melambung, TNB jamin teliti aduan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 11:23 AM