ORANG ramai menyerbu kaunter TNB bagi mendapatkan penjelasan meter pintar dan aplikasi MyTNB di Paya Rumput, hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar.
ORANG ramai menyerbu kaunter TNB bagi mendapatkan penjelasan meter pintar dan aplikasi MyTNB di Paya Rumput, hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar


ISU meter pintar yang hangat dan viral dengan kadar bil tinggi antara diberi penjelasan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kompleks Sukan Paya Rumput, Melaka, hari ini.

Kaunter TNB diserbu orang ramai sempena ‘Karnival Dewan Undangan Negeri Paya Rumput Di Hati’ itu terutama untuk mendapatkan penjelasan mengenai meter pintar berbanding meter lama.

Pengguna Zaiha Ahmad , 50, dari Batu Berendam berkata, pendekatan berkenaan memberi impak kesedaran berkaitan meter pintar yang sebelum ini menjadi rungutan sesetengah pihak berkaitan bil penggunaannya.

Katanya, orang ramai turut diberi taklimat berkaitan kesedaran dan penggunaan elektrik serta langkah penjimatan meter setiap 30 minit berbanding meter lama sebulan sekali.

“Orang ramai boleh mendapat maklumat bagi penyemakan bil menerusi sistem online MyTNB di telefon bimbit masing-masing.

“Menerusi aplikasi berkenaan orang ramai boleh memeriksa penggunaan dan bil elektrik harian dan bulanan di mana sahaja mereka berada.

“Selama ini, ramai tidak menyedari atau menggunakan aplikasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Retail TNB Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberi pendedahan berkaitan aplikasi MyTNB.

Beliau berkata, kesedaran tinggi penjimatan elektrik dalam kalangan awam sentiasa menjadi perhatian dan keutamaan pihaknya.

“Kerjasama pihak Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerusi poster kesedaran berkaitan adalah langkah positif untuk faedah pengguna dan seisi keluarga masing-masing.

“Melaka sebelum ini adalah negeri pertama pemasangan meter pintar di negara ini selain Putrajaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 1:06 PM