Anggota polis  melakukan  sekatan jalan raya untuk mengesan pesalah trafik.
Anggota polis melakukan sekatan jalan raya untuk mengesan pesalah trafik.

Bentong: Dalam tempoh dua jam, 257 saman dikeluarkan kepada pesalah jalan raya dalam sekatan jalan di Kilometer 83, Jalan Bentong-Kuala Lumpur di sini, semalam.

Malah, sekatan jalan yang bermula jam 10 pagi dan berakhir dua jam kemudian turut menahan dua lelaki berusia awal 20-an kerana positif dadah selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

Pegawai Penguat Kuasa Tadbir dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, 257 saman dalam tempoh dua jam itu menunjukkan pengguna jalan raya masih mengamalkan sikap sambil lewa terhadap peraturan ditetapkan.

Katanya, sikap dan mentaliti pemandu atau penunggang motosikal yang menganggap undang-undang sebagai perkara remeh menyumbang kepada kemalangan hingga meragut nyawa.

“Bayangkan lebih 200 saman dikeluarkan dalam tempoh dua jam menunjukkan pengguna tidak takut terhadap undang-undang, malah bertindak berani menunggang motosikal di depan pihak berkuasa tanpa memakai topi keledar atau tiada lesen memandu.

“Antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi dan tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan mengubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, segelintir pengguna turut berani memandu di bawah pengaruh dadah, sekali gus berdepan risiko kemalangan hingga meragut nyawa dan menyusahkan orang ramai.

“Jabatan Imigresen turut menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sah. Semua yang ditahan dibawa ke IPD Bentong untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 6:26 AM