PENAMPILAN menarik digayakan guru SK Iskandar Shah ketika sambutan Hari Guru, semalam.
PENAMPILAN menarik digayakan guru SK Iskandar Shah ketika sambutan Hari Guru, semalam.
Noor Hidayah Tanzizi


PARIT: Aksi kembar empat ahli sihir wanita lengkap dengan jubah merah, topi dan tongkat sakti, antara penampilan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Shah, memeriahkan sambutan Hari Guru.

Turut mewarnai sambutan bertemakan ‘kembar’ Jumaat lalu itu adalah telatah guru yang menjadi kembar lima Puteri Perak dan kembar tujuh guru lelaki hingga berjaya mencuit hati murid sekolah berkenaan.

Guru Besar, Norlia Abdul Wahab berkata, sambutan Hari Guru tahun ini memilih tema kembar bagi memberi kelainan yang ternyata menggembirakan murid apabila melihat guru memakai pakaian sama mengikut kreativiti sendiri.

Menurutnya, tema itu juga simbolik kepada semangat kesepakatan yang membawa kepada muafakat mendidik murid dengan nilai murni.

“Murid begitu teruja dan gembira melihat semua guru memakai pakaian tema kembar mengikut kreativiti sendiri, lain daripada sesi persekolahan biasa.

“Bukan saja ada kembar dua atau kembar tiga tetapi kami juga ada kembar lima dan tujuh yang memakai persalinan sama mengikut pelbagai jenis pakaian termasuk gaya tradisional,” katanya.

Selain anugerah menggayakan kreativiti kembar, mereka menampilkan lima kategori seperti guru paling tegas, guru penyayang, guru bergaya, guru kelakar dan guru paling sempoi pada sambutan kali ini.

“Lima kategori itu memberi keistimewaan dan kelainan baru pada sambutan tahun ini apabila murid berpeluang menjadi juri dan mengundi guru yang disukai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 7:30 AM