KEADAAN kereta yang merempuh tiga beranak yang menaiki motosikal. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kereta yang merempuh tiga beranak yang menaiki motosikal. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


TIGA beranak maut selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta yang membawa muatan ketum di Kampung Nibong di Tanah Merah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Nur Zurita Kadir, 26, dan dua anaknya Siti Husna Qaisara Adnan, 4, dan Muhammad Adam Mukhriz, 5, maut di tempat kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara adik mangsa, Zulfadli Shah Kadir, 25, berkata, dia mendapat panggilan berhubung kejadian itu, pada 8 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, mayat mangsa masih berada di lokasi kejadian.

“Mangsa dan dua anaknya dalam perjalanan untuk menghantar Adam di Tadika Kemas berhampiran.

“Sebelum itu dia baru selesai menghantar seorang anaknya Siti Hajar Qistana, 8, di Sekolah Kebangsaan Jedok di sini.

“Saya difahamkan sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dari arah bertentangan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal Honda Ex-5 kakak,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah pagi tadi di rumah ibunya.

“Arwah dan anaknya menumpang mandi kerana tiada bekalan air di rumah.

“Arwah bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 12:48 PM