DR Mahathir berucap pada majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak. FOTO Abdullah Yusof
DR Mahathir berucap pada majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


TERDAPAT segelintir penjawat awam yang tidak menyenangi tindakan kerajaan memberi penekanan terhadap membasmi rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mungkin hidup mereka lebih sempurna kerana rasuah dengan pendapatan lebih dan apabila kerajaan memerangi rasuah mereka tidak lagi menerima wang rasuah yang biasa.

“Ada juga antara kita (penjawat awam) yang berpendapat bahawa adalah lebih baik mempunyai pemerintah rasuah yang akan memberi bantuan kepada kita, memberi wang secara percuma walaupun haram.

“Ada juga yang berpendapat kerajaan ini (Pakatan Harapan) tidak sebaik kerajaan lalu kerana kerajaan ini tidak membenarkan kita menerima wang rasuah justeru itu mereka menganggap kerajaan ini tidak harus diteruskan sebaliknya kembali kepada kerajaan rasuah yang akan menguntungkan.

“Tetapi percayalah apabila pemimpin dan kerajaan pilihan rakyat sendiri mengamalkan rasuah, sudah tentu kita akan jadi mangsa kerana kita tidak akan dapat layanan yang sepatutnya daripada kerajaan yang mentadbir negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Townhall Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Kerajaan negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Beliau berkata, kerajaan memberi tekanan kuat terhadap membasmi rasuah kerana kerajaan lalu jatuh akibat gejala itu. Walaupun mereka berpendapat bahawa dengan rasuah akan dapat sokongan tetapi akhirnya rakyat yang menjatuhkannya.

“Kenapakah kita perlu hapuskan rasuah? Kerana rasuah gejala yang akan menggagalkan usaha kita dalam apa sahaja kerja terutamanya dalam pembangunan negara.

“Selagi ada rasuah negara tidak akan dapat dibangunkan, kerana segala urusan, arahan tidak akan dipatuhi sebaliknya yang diutamakan ialah bayaran yang tidak halal,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerana itulah penjawat awam perlu sanggup berkorban sedikit bersama dengan kerajaan memerangi rasuah kerana jika bersih daripada rasuah maka nikmat lebih akan diperoleh rakyat yang kelak akan turun kepada anak cucu.

Beliau turut menekanankan agar kekayaan dalam negara perlu dikongsi semua rakyat tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit secara adil kerana ia adalah tuntutan masyarakat.

“Jka semua pihak sanggup berkongsi kekayaan secara baik dan adil, maka negara akan aman dan harnoni tanpa masalah tekanan oleh mana-mana pihak, rusuhan, keganasan dan pelbagai perkara lain.

“Namun jika diabaikan untuk agihkan kekayaan negara dengan baik, maka akan berlaku perasaan tidak senang antara satu sama lain dan perasaan ini lama kelamaan akan mencetuskan huru hara dalam negara kita, bahkan lebih daripada itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 2:14 PM