Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DIANGGARKAN 3,500 individu menyertai Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) di Jalan Tuanku Abdul Rahman, yang berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal hari ini.

Perhimpunan yang bermula pada 2 petang itu pada asalnya dijadualkan tamat pada 6 petang, namun berlangsung selama sejam setengah akibat hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, seramai 600 anggota polis ditugaskan untuk mengawal keadaan.

Menurutnya, himpunan berlangsung dalam keadaan tenang dan aman tanpa sebarang perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Kita akan membuat penelitian dan ambil kira maklum balas mengenai himpunan ini. Selain itu, kita juga akan kaji semula ucapan yang disampaikan.

“Selepas itu, baru kita boleh nyatakan sekiranya ada kesalahan ketika himpunan berlangsung,” katanya ketika ditemui di lokasi himpunan.

Ketika ditanya mengenai status notis yang diserahkan oleh penganjur sebelum ini, Mohd Fahmi berkata, pihaknya sudah menerima notis pemberitahuan dan mengadakan pertemuan dengan penganjur.

“Bagaimanapun, penganjur tidak sertakan bersama notis kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jadi dianggap tidak lengkap.

“Oleh itu, kita akan jalankan siasatan lanjut dan kita akan panggil penganjur sekiranya ada keperluan,” katanya.

Peserta himpunan berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran Kompleks Sogo pada Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan anjuran Gerakan Pembela Ummah. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Peserta himpunan berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran Kompleks Sogo pada Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan anjuran Gerakan Pembela Ummah. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Terdahulu, peserta himpunan berkumpul di Masjid Jamek sebelum berarak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran pusat beli-belah Sogo.

Turut kelihatan dalam perhimpunan itu Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) diselia UMNO dan PAS itu bertujuan membantah ancaman terhadap kedaulatan Islam di negara ini, termasuk beberapa isu yang cuba menggugat kedudukan Islam dan Perlembagaan antaranya Statut Rom, kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, isu pendidikan dan desakan pemecatan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 4:49 PM