Suraya Roslan dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu manakala kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu, hanya dua undang-undang Seksyen 13 dan 30 yang dibenarkan.

Antara peruntukan yang dicabar termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat) dan Seksyen 30 (kata-kata memecahkan keamanan).

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 17 Ogos 2023, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili kedua-dua pempetisyen dan Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif mewakili Kerajaan Negeri Kelantan manakala Yusfarizal Yussoff selaku peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Malik Imtiaz antara lain berhujah, Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang itu kerana 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Hujah beliau, 18 peruntukan itu tidak sah kerana peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu adalah bidang kuasa Parlimen.

Sementara itu, Kamaruzaman berhujah, peruntukan yang dicabar itu adalah kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.

Beliau turut memohon mahkamah mengkaji semula penghakiman kes Iki Putra Mubarrak berhubung isu sama kerana terdapat beberapa bahagian dalam penghakiman Iki Putra yang disifatkan tidak boleh dikekalkan.

SEBAHAGIAN orang ramai hadir di Himpunan Selamatkan Syariah anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SEBAHAGIAN orang ramai hadir di Himpunan Selamatkan Syariah anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 9:57 AM