Pasukan SAR membawa keluar mayat Kenek Antok, 46, yang ditemui tergantung pada akar kayu di Ulu Sungai Melatai, Kapit. FOTO ihsan pembaca.
Pasukan SAR membawa keluar mayat Kenek Antok, 46, yang ditemui tergantung pada akar kayu di Ulu Sungai Melatai, Kapit. FOTO ihsan pembaca.
Norsyazwani Nasri


SEORANG kontraktor syarikat balak yang dilaporkan hilang sejak 30 April lalu ditemui mati tergantung di hutan Ulu Sungai Melatai, Kapit, semalam.

Mayat, Kenek Antok, 46, berasal dari Long Dungan, Belaga, ditemui pada 4.20 petang dalam keadaan tergantung pada akar kayu tebing curam oleh pasukan mencari dan Menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, pasukan SAR menjumpai mayat Kenek tergantung hanya 50 meter dari lokasi beg miliknya ditemui Rabu lalu.

Katanya, mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan hutan itu dan tiba di hospital Kapit pada jam 8 pagi, semalam.

“Siasatan awal dan pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati tiada kesan-kesan pergelutan atau luka. Punca kematian belum diketahui dan bedah siasat akan dijalankan pada hari ini.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 30 April lalu, mangsa bersama 10 pekerja lain memasuki kawasan hutan Ulu Sungai Melatai untuk menjalankan kerja-kerja penandaan kayu balak.

Kenek dikhuatiri hilang selepas didapati tidak pulang semula ke kem bersama rakan-rakan sekerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 1:59 PM