ROSILAWATI Sha’ari. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
ROSILAWATI Sha’ari. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


“SAYA pada awalnya menyangka paha hanya mengalami bengkak biasa. Namun semakin hari paha semakin besar.

“Selepas pemeriksaan barulah saya tahu masalah itu disebabkan kanser,” kata ibu tunggal, Rosilawati Sha’ari, 53, disahkan menghidap kanser sarcoma sejak tujuh bulan lalu.

Ibu kepada empat anak itu berkata, paha kirinya disedari mula membengkak pada hujung September tahun lalu.

Katanya, dia mengabaikan perkara itu berikutan pahanya langsung tidak berasa sakit atau menjejaskan aktiviti hariannya ketika bekerja.

“Pada November, bengkak berkenaan makin membesar dan mula menyebabkan saya berasa sakit ketika bekerja. Saya juga pernah deman selama dua minggu.

“Berikutan itu pada 20 Februari lalu, saya menjalani pemeriksaan di Hospital Teluk Intan (HTI), Perak dan doktor memaklumkan kemungkinan ada ketumbuhan di bawah paha.

“Saya kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital

Kuala Lumpur (HKL) sebelum doktor sahkan ia disebabkan kanser sarcoma,” katanya ketika

ditemui di kediamannya di Taman Aman, Sabak Bernam, hari ini.

Rosilawati berkata, selain risau mengenai tahap kesihatannya dia juga buntu memikirkan dua anak kecil masih bersekolah.

“Sekarang saya hanya bergantung kepada bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan sumbangan rakan serta jiran yang datang menziarah.

“Tahap kesihatan saya juga semakin merosot kerana kerap demam, nak jamah makanan pun sudah tidak berselera,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank miliknya bernombor 112035176120.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 3:47 PM