LAPORAN portal Harian Metro mengenai ibu lahirkan anak dalam bas.
LAPORAN portal Harian Metro mengenai ibu lahirkan anak dalam bas.
Muhammad Apendy Issahak


“NIAT saya hanya ingin berkongsi berita gembira kelahiran seorang bayi dalam bas, tak sangka ia membuatkan ibu bapa bayi berkenaan berasa tidak selesa dengan perkara itu dan saya memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan,” kata Mohammad Faisal SH Omar, 28.

Pemandu kedua bas ekspres berkenaan juga sudah memadam semua gambar dan video yang dikongsi di laman sosial Facebooknya selepas mengetahui perbuatannya itu tidak disenangi ibu bapa bayi berkenaan.

Menurutnya, dia meminta maaf kepada pasangan terbabit kerana memuat naik berita kelahiran anak sulung pasangan itu di dalam bas itu tanpa kebenaran atau pengetahuan mereka.

“Saya minta orang ramai yang sudah berkongsi gambar dan video kejadian itu agar tidak menyebarkannya lagi kerana saya difahamkan ibu bapa bayi berkenaan berasa tidak senang dengan perkara itu hingga membuat laporan polis mengenainya.

“Buat masa ini saya belum dihubungi polis berhubung perkara berkenaan, namun mengambil langkah awal memadam kesemua gambar dan video yang saya kongsi itu kerana menyedari kesilapan yang saya lakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, seorang wanita selamat melahirkan bayi perempuan ketika dalam perjalanan dari ibu negara ke Ipoh menaiki bas KKKL Group.

Mohammad Faisal yang berkongsi berita itu berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan bas dipandu pemandu utama sebelum suami wanita berkenaan mengejutkannya untuk meminta bantuan.

Menurutnya, bayi berkenaan dilahirkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dengan dibantu empat penumpang wanita lain dan sebaik mengetahui mengenai kelahiran itu, pemandu utama memasuki kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara sebelum menghubungi pihak hospital untuk bantuan lanjut.

Berita berkaitan

Bayi perempuan lahir dalam bas ekspres

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:43 PM