KOTA BHARU 28 APRIL 2019. Ibu tunggal, Mustaari Ismail, 36, menjual buah ketika ditemui di Kampung Kraftangan. STR/SYAHERAH MUSTAFA.
KOTA BHARU 28 APRIL 2019. Ibu tunggal, Mustaari Ismail, 36, menjual buah ketika ditemui di Kampung Kraftangan. STR/SYAHERAH MUSTAFA.
Syaherah Mustafa


BERMODALKAN RM300, seorang ibu tunggal mengambil inisiatif menjual colek atau rojak buah bagi menampung kehidupannya sekeluarga selepas kematian suami lima tahun lalu.

Mustaari Ismail, 36, menjual colek buah bagi membesarkan tiga anak berusia antara tujuh hingga 13 tahun kerana tidak mahu hidup dengan hanya meminta belas ihsan orang ramai.

Katanya, dia perlu gigih untuk membesarkan anak apabila menunggang motosikal roda tiga dari rumahnya di Kampung Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu menuju ke Kampung Kraftangan dalam jarak kira-kira dua kilometer.

Dia yang sudah berniaga sejak dua tahun lalu meluahkan rasa syukur kerana perniagaan colek buah itu memberi pulangan hasil yang cukup untuk menampung kehidupan seharian bersama anak selepas kematian suami, Sukizam Mohamad Ariffin, akibat sakit jantung.

“Colek atau rojak buah yang saya hasilkan ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana rata-rata pelanggan suka dengan kuahnya yang pekat dan pedas seperti yang dijual di negara jiran, Thailand.

“Malah, saya ada pelanggan tetap dari Thailand yang wajib datang ke sini dua kali seminggu untuk mendapatkan kuah colek sahaja.

“Mungkin kerana mereka juga menjual colek buah di sana tetapi menggunakan kuah yang saya hasilkan.

“Saya gembira kerana colek buah yang dihasilkan mendapat tempat di hati pelanggan dan seterusnya membantu saya untuk mencari pendapatan bagi membesarkan tiga anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Kraftangan, Kota Bharu.

Mustaari berkata, dia juga memastikan buah-buahan yang dijual seperti jambu, nanas, mangga dan betik sentiasa dalam keadaan segar bagi menjaga kualiti coleknya itu.

“Saya menggalas tanggungjawab yang besar kerana saya ibu dan juga bapa kepada anak-anak. Mereka masih kecil dan perlukan kehidupan yang baik untuk membesar.

“Saya berniaga hari ini dengan niat untuk mendapatkan rezeki halal buat anak-anak dan menggunakan kudrat kurniaan Tuhan ini sebaiknya. Saya masih diberikan kesihatan dan kekuatan, jadi saya akan gunakan sebaiknya dengan mencari rezeki halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 12:54 AM