LOKASI penemuan mayat di kawasan industri ringan Templer, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
LOKASI penemuan mayat di kawasan industri ringan Templer, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


MAYAT wanita yang ditemui ditanam berhampiran kawasan semak dalam keadaan berbalut di Kawasan Perusahaan Ringan, Jalan Tun Dr Ismail, di Seremban, kelmarin dipercayai warga asing.

Sumber polis berkata, pemeriksaan mendapati tiada suntikan BCG pada lengan kiri mayat terbabit.

Katanya, bedah siasat dibuat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban mendapati wanita itu mengalami kesakitan dalam perut iaitu pada usus, lalu meninggal dunia.

“Pihak polis mempercayai mayat itu berkemungkinan milik wanita warga asing dan sebaik meninggal dunia, keluarga atau waris tiada tempat untuk dituju.

“Mereka tidak boleh ke hospital atau berurusan dengan jabatan agama kerana dipercayai tiada dokumen kemasukan sah ke negara ini,” katanya.

Kata sumber itu lagi, mayat itu terpaksa dikebumikan dalam semak sebelum kesan korekan tanah ditemui seorang peniaga.

Menurutnya, polis setakat ini masih mengesan identiti mayat dan individu berkaitan.

Harian Metro kelmarin melaporkan, mayat dipercayai wanita ditemui ditanam dalam kawasan semak berhampiran premis usang, 10 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, pihaknya yang menerima laporan peniaga berusia 60 tahun mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi.

Sebaik tiba katanya, anggota menemui kesan korekan tanah yang ditimbus semula dan ditutupi pelepah kelapa serta papan.

“Pihak polis menggali kesan timbus itu lalu menemui mayat yang berbalut dengan kain dan membawanya ke HTJ untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita berkaitan

Mayat wanita berbalut dalam semak

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 1:33 PM