MOHAMAD Nazaruddin (tengah) tidak menjawab soalan ketika hadir pada Persidangan Pertama Penggal Kedua Sidang DUN Negeri Sembilan ke-14 di Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
MOHAMAD Nazaruddin (tengah) tidak menjawab soalan ketika hadir pada Persidangan Pertama Penggal Kedua Sidang DUN Negeri Sembilan ke-14 di Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Azzman Abdul Jamal


SUASANA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pagi ini sedikit hangat apabila wakil rakyat pembangkang mempersoalkan tindakan EXCO Kesenian, Kebudayaan Dan Adat Istiadat Melayu, Mohamad Nazaruddin Sabtu yang mendiamkan diri dan membiarkan soalan berkaitan portfolionya dijawab wakil kerajaan.

Terdahulu, Abdul Razak Said (BN-UMNO Gemas) mengemukakan soalan lisan mengenai peruntukkan bagi program memperkasakan budaya dan adat kepada pihak kerajaan, bagaimanapun soalan itu dijawab EXCO Pembangunan Belia dan Sukan, Mohamad Taufek Abd Ghani.

Meskipun hadir di persidangan DUN hari ini, Mohamad Nazaruddin (PH-PKR Pilah) dilihat hanya mendiamkan diri menyebabkan Mohamad Taufek (PH-AMANAH Paroi) bangun dan menjawab soalan berkenaan.

Tindakan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli dewan sebelum Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-UMNO Gemencheh), Datuk Ismail Lasin (BN-UMNO Juasseh) dan Noor Azmi Yusuf (BN-UMNO Pertang) menuntut penjelasan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan bahawa perkara itu bukanlah satu isu dan tidak perlu dibesarkan dalam kalangan pihak pembangkang.

“Paroi (Mohamad Taufek) bantu Pilah (Mohamad Nazaruddin) menjawab soalan. Dulu memang MB jawab, tapi tiada peraturan menyatakan hanya MB mesti jawab.

“Justeru isu ini tidak perlu dipanjangkan, siapa-siapa saja boleh jawab,” kata beliau ketika sesi soal jawab lisan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Sebelum ini, Mohamad Nazaruddin dilaporkan mengalami masalah kesihatan malah tidak hadir selama tiga hari pada persidangan DUN Oktober lalu.

Ia menimbulkan khabar angin kononnya beliau akan meletakkan jawatan sebagai EXCO dan wakil rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 4:01 PM