Meor Mohamad Sharifuddin (dua kiri) menyampaikan cek sumbangan kepada Koperasi MRSM Taiping Berhad sambil disaksikan Abdul Fattah (kiri). FOTO Balqis Jazimah Zahari
Meor Mohamad Sharifuddin (dua kiri) menyampaikan cek sumbangan kepada Koperasi MRSM Taiping Berhad sambil disaksikan Abdul Fattah (kiri). FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menafikan dakwaan pihaknya membuat potongan gaji tinggi sehingga menyukarkan kehidupan peminjam.

Naib Presiden ANGKASA, Mohamad Azmi Omaruddin berkata, sebaliknya pemotongan dilakukan melalui Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA) bagi mengawal had keberhutangan 60 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam yang terjamin dan sistematik.

Beliau menegaskan perkara itu berikutan terdapat beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalahkan dan mempertikai kemampuan ANGKASA menguruskan potongan gaji itu.

“Pemberi pinjaman itu adalah diuruskan oleh koperasi dan badan lain yang diuruskan mereka sendiri, bukannya ANGKASA yang mengeluarkan pinjaman.

“Kita hanya sebagai pemudah cara iaitu setiap koperasi kredit berperanan sebagai pemberi pinjaman kepada ahli koperasi dan ANGKASA bertindak sebagai ejen kutipan.

“Jadi kemungkinan NGO yang menuding jari kepada ANGKASA ini tidak memahami peranan kita sebagai agensi mengawal keberhutangan 60 peratus melalui sistem potongan gaji yang diminta pelanggan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Persidangan ANGKASA Perak yang dirasmikan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Meor Mohamad Sharifuddin Meor Yahya.

Turut hadir Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Mohamad Azmi berkata, setiap pelanggan ANGKASA yang terdiri daripada koperasi, syarikat insurans, bank, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga kesatuan akan diberikan akses kepada SPGA agar pengawalan 60 peratus had keberhutangan ahli dapat dikawal entiti pelanggan ANGKASA.

“Pengawalan 60 peratus di peringkat permulaannya adalah di peringkat pelanggan (koperasi) itu sendiri.

“Contohnya, koperasi yang mempunyai ahli membuat pinjaman dan koperasi akan memasukkan pelbagai maklumat termasuk jumlah permohonan pinjaman ke dalam sistem.

“Jadi sistem SPGA boleh diakses melalui pelanggan (koperasi) yang mempunyai kod dengan ANGKASA, jika (jumlah pinjaman) lebih daripada itu (60 peratus), sistem akan terus menolak di peringkat koperasi itu sendiri dan bukan ANGKASA,” katanya.

Mohamad Azmi berkata, sehingga kini pengurusan pemotongan gaji melalui SPGA secara keseluruhan membabitkan penjawat awam, swasta, GLC serta majikan yang mempunyai kod dengan ANGKASA adalah berjumlah RM3.4 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata, ANGKASA melalui sistem berkenaan sudah menguruskan potongan gaji untuk sektor awam dan swasta bermula April 1977.

Sementara itu, berkenaan persidangan hari ini, Mohd Rosli Basri berjaya mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi ANGKASA negeri menewaskan pesaingnya, Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Shaik Abdul Razak Shaik.

“Hari ini persidangan dihadiri 612 perwakilan daripada 597 koperasi, 11 ahli jawatankuasa dan 45 pemerhati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 8:00 PM