SEEKOR daripada dua gajah yang berjaya 'dipujuk' PERHILITAN Kelantan di Kampung Kalai di Jeli. FOTO Ihsan PERHILITAN Kelantan
SEEKOR daripada dua gajah yang berjaya 'dipujuk' PERHILITAN Kelantan di Kampung Kalai di Jeli. FOTO Ihsan PERHILITAN Kelantan
Syaherah Mustafa


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan mengambil masa lima jam untuk memindahkan dua gajah liar di Kampung Kalai di Jeli, hari ini.

Pengarahnya, Ady Ermanty Haniff Mohamed Haniff berkata, dua gajah jantan itu berjaya ditangkap pada Rabu lalu.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima aduan penduduk setempat selepas haiwan itu memusnahkan pelbagai tanaman seperti kelapa, pisang dan pokok getah sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM15,000.

“Susulan aduan yang dibuat, kakitangan Pejabat PERHILITAN Jeli membuat pemantauan di lokasi kejadian pada 3 April lalu dan dianggarkan 10 gajah yang menimbulkan konflik di kawasan itu.

“Pada 17 April, kami terima satu lagi aduan sama sebelum lima anggota PERHILITAN bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, operasi terus dijalankan.

“Pada 12 tengah hari, gajah jantan berjaya ditangkap di kawasan kebun Kampung Kalai, manakala seekor lagi ditangkap tiga jam kemudian,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

ANGGOTA PERHILITAN Kelantan dan PKGK bergambar bersama dua gajah liar yang ditangkap di Kampung Kalai, Jeli. FOTO Ihsan PERHILITAN Kelantan
ANGGOTA PERHILITAN Kelantan dan PKGK bergambar bersama dua gajah liar yang ditangkap di Kampung Kalai, Jeli. FOTO Ihsan PERHILITAN Kelantan

Ady Ermanty Haniff berkata, hari ini, operasi pemindahan dijalankan membabitkan sembilan anggota PERHILITAN Kelantan dan lapan anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang.

“Bagi memudahkan proses pemindahan, kami menggunakan dua gajah denak betina iaitu Rambai dan Abot dari PKGK. Operasi bermula 8 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

“Seekor daripada gajah liar ini akan dipasang dengan alat pengesan (Satelite Collar) bertujuan mengesan pergerakannya selepas dilepaskan di Taman Negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:14 PM