PEGAWAI Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid (kiri) bersama pegawainya menyita mesin jualan air dalam operasi seluruh Pulau Pinang di Bertam, Kepala Batas. FOTO Rosli Ahmad
PEGAWAI Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid (kiri) bersama pegawainya menyita mesin jualan air dalam operasi seluruh Pulau Pinang di Bertam, Kepala Batas. FOTO Rosli Ahmad
Nur Izzati Mohamad


SUDAHLAH tidak mempunyai lesen, letak pula kandungan ayat mengenai kebaikan air bertapis hingga boleh memperdaya pengguna.

Itu antara kesalahan dikesan pemilik mesin air bertapis di sekitar negeri ini dalam operasi dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama Perbadanan Bekalan Air (PBA) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Dalam operasi disertai lebih 30 anggota penguat kuasa itu mendapati mesin jualan air bertapis kebanyakannya dipasang di hadapan kedai runcit tidak mendapat lesen daripada JKNPP selain mengabaikan faktor kebersihan dan kesihatan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis berhubung pemilik mesin air bertapis perlu mendapatkan lesen.

“Namun sehingga kini didapati, pemilik-pemilik ini tidak berminat memohon lesen sebaliknya menampal kandungan ayat yang memperdaya pengguna.

“Selain itu, pemilik juga dilihat tidak menyelenggara mesin air dalam keadaan baik kerana pemeriksaan mendapati ada penutup terbuka dan boleh mengundang kepada kehadiran binatang,” katanya selepas operasi menyita mesin air bertapis tidak berlesen di Bertam Perdana, Kepala Batas, hari ini.

Dalam operasi itu, JKNPP menyita 48 mesin air bertapis bernilai RM230,400 di sekitar premis di negeri ini

Jelasnya, pemilik mesin air yang terbabit diminta tampil memohon lesen sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Kita memberi tempoh selama enam bulan kepada pemilik mesin air ini tampil. Sekiranya enggan, kita akan bawa kepada pihak pendakwaraya untuk tindakan melupuskan mesin yang disita,” katanya.

Tindakan penyitaan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pemilik perlu memohon lesen berikutan Kementerian Kesihatan mahu memberi kesedaran supaya air diminum pengguna berkualiti dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 5:03 PM