ANTARA Mesin Jual Air (MJA) yang disita Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang. FOTO Ihsan JKN Pahang
ANTARA Mesin Jual Air (MJA) yang disita Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang. FOTO Ihsan JKN Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 32 Mesin Jual Air (MJA) disita oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang kerana beroperasi tanpa lesen bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.

Pengarah JKN Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 21 kompaun berjumlah RM42,000 dikeluarkan terhadap pemilik mesin terbabit.

Katanya, sitaan itu dilaksanakan mengikut Seksyen 4(1) (f) Akta Makanan 1983 dan kompaun mengikut Seksyen 32B kerana beroperasi tanpa lesen dan melanggar Peraturan 360 C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Menurut Peraturan 360C(4) MJA yang didapati beroperasi tanpa lesen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah suatu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

"Berdasarkan statistik sehingga semalam, sebanyak 693 MJA beroperasi di seluruh negeri ini.

"Daripada jumlah itu, 464 MJA atau 67 peratus berlesen manakala 229 MJA atau 33 peratus dalam proses permohonan bagi mendapatkan lesen," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas operasi pelesenan MJA di seluruh Pahang selama dua hari yang berakhir semalam, beliau berkata, enam mesin tidak berlesen di sita dan tujuh kompaun berjumlah RM14,000 dikeluarkan.

Katanya, operasi itu dijalankan untuk memastikan semua MJA mempunyai lesen serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi memastikan kualiti air yang dihasilkandan dijual kepada orang awam adalah selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 10:53 AM