Dziyaul Afnan Abdul Rahman


EMPAT penarik kereta direman selama seminggu selepas terbabit dalam cubaan samun kereta ke atas seorang kontraktor di Kuala Perlis, Jumaat lalu.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 37 hingga 43 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah bermula hari ini sehingga 16 April ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Superintendan Abdul Shukor Yusoff berkata, dalam kejadian 12.30 tengahari pada 5 April lalu, mangsa dipercayai keluar dari bank di Kuala Perlis.

“Sejurus keluar dari bank, mangsa didatangi keempat suspek dan cuba merampas kereta mangsa.

“Bagaimanapun orang ramai yang melihat kejadian itu datang ke keretanya dan membantu mangsa sebelum kesemua suspek beredar.

“Bimbang akan keselamatannya, mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama. Manakala kesemua suspek berkenaan datang menyerah diri di Balai Polis Kuala Perlis pada petang semalam,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Shukor berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian sebenar memandangkan kenyataan kedua pihak bercanggah antara satu sama lain.

“Setakat ini pihak polis menyiasat kes ini di bawah jenayah samun.

“Namun kita masih menyiasat secara terperinci kerana terdapat maklumat bahawa mangsa juga mempunyai hutang tertunggak ke atas kereta yang cuba dirampas suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak dan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 1:17 PM
EMPAT penarik kereta direman selama seminggu selepas cuba menyamun sebuah kereta daripada seorang kontraktor di Kuala Perlis pada Jumaat lalu. FOTO Dziyaul Abdul Rahman
EMPAT penarik kereta direman selama seminggu selepas cuba menyamun sebuah kereta daripada seorang kontraktor di Kuala Perlis pada Jumaat lalu. FOTO Dziyaul Abdul Rahman